Sangat bertuah sesiapa yang dapat membaca Al Quran serta menghafal dengan lancar. Bukan itu sahaja, bahkan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Adakah anda salah seorang yang jarang menyentuh Al Quran atau anda membacanya setiap hari namun bacaan masih belum lancar dan tidak betul? Seseorang yang dapat membaca Al Quran setiap hari adalah satu kenikmatan serta dapat mengalunkan bacaan Al Quran dengan baik dan betul adalah satu kehebatan.
Menghafal 30 juzuk Al Quran adalah matlamat setiap orang yang bergelar muslim tapi sekiranya dapat mencapai kesemua perkara diatas adalah satu kebahagiaan yang sangat besar dan bermakna dalam hidup. Namun dengan cabaran kehidupan dan budaya masyarakat kini yang sangat sibuk, ia membataskan hubungan seseorang dengan Al Quran. Malah semakin hari ia semakin kritikal dari generasi ke generasi. Walau apa pun kes yang mungkin terjadi, kita BOLEH BERUBAH dan MESTI BERUBAH.
Tips mendekatkan hubungan kita dengan Al Quran :
1. Imbas kembali niat kita
Kunci untuk mendapat manfaat sepenuhnya daripada Al Quran adalah muhasabah kembali niat kita, sebelum menyentuh kitab Allah ini. Tanya diri secara jujur, mengapa kita membaca Al Quran? Hanya sekadar membaca isinya sahaja, dan kemudian membiarkan ia menghanyut jauh daripada kita tanpa amal?
Ingatlah bahawa Nabi Muhamad (SAW) digelarkan sebagai Al Quran bergerak : Dalam kata lain, Baginda tidak hanya membaca dan mengalunkan Al Quran, tetapi baginda beramal dengan apa yang terkandung dalam Kalam Allah itu.
2. Mengambil Wuduk sebelum membaca Al-Quran
Mengambil wuduk adalah persediaan mental dan fizikal yang baik untuk mengingatkan kita bahawa kita bukan sekadar sedang membaca ‘buku’ biasa. Sebenarnya kita sedang ingin berhubung dengan Allah, oleh sebab itu kebersihan adalah satu keutamaan yang penting apabila kita ingin menghadapNya.
3. Mulakan dengan membaca Al Quran sekurang-kurangnya 5 minit setiap hari
Selalunya kita beranggapan bahawa kita patut membaca Al Quran sekurang-kurangnya sejam atau lebih. Jika anda bukanlah orang yang sentiasa membaca Al Quran, itu pastinya terlalu banyak dan berat untuk dilaksanakan.
Sebagai permulaan, mulakan dengan hanya 5 minit sehari. Apabila anda memulakan langkah pertama ini, InsyaAllah, lama-kelamaan tanpa sedar 5 minit itu akan bertukar menjadi 10 minit, 10 minit akan menjadi setengah jam, dan seterusnya menjadi sejam. Dan mungkin lebih lagi.
4. Pastikan kita faham apa yang dibaca
Meluangkan masa lima minit untuk membaca Al Quran dalam bahasa arab adalah bagus, namun kita perlu faham apa yang kita alunkan itu. Pastikan anda ada terjemahan Al Quran yang baik dalam bahasa yang anda mudah untuk memahaminya.
Sentiasalah membaca terjemahan untuk memahami apa yang telah dibaca. Pasti hati kita akan berasa tenang, dan menjumpai jawapan-jawapan kepada setiap permasalahan yang terjadi dalam hidup kita. Al Quran bukan hanya sekadar didengar oleh telinga, tetapi harus didengari sampai ke hati. Kerana fungsi baca Al Quran itu ada dua, kalau tidak untuk menenangkan hati, ia untuk mengubati.
5. Membaca dan mendengar
Di era yang serba canggih ini, gunakan sebaiknya teknologi ada. Download aplikasi dan audio ke dalam smartphone kita, dengan cara ini kita boleh mendengar alunan Al Quran setiap masa dari Qari yang kita minati dan secara tidak langsung dapat memperbaiki bacaan kita dari masa ke semasa.
Cara ini ibarat serampang dua mata, kerana kita dapat mendengar bacaan yang betul dan pada masa yang sama akan membuatkan kita mengingati ayat-ayat suci itu dalam hati kita.
6. Belajar Tajwid
Membaca Al Quran secara bertajwid adalah sangat penting. Ada 4 perkara asas TAJWID yang perlu kita pelajari. Bacaan panjang atau pendek, Bacaan dengung atau tidak dengung, Bacaan waqaf dan Ibtida’, dan Makhraj dan Sifat Huruf. Keindahan alunan bacaan ayat suci Al Quran akan pudar tanpa hukum tajwid yang betul. Oleh itu, belajarlah dan amalkan hukum tajwid yang betul. Yang terbaik pastilah dengan belajar secara berguru.
7. Berdoa kepada Allah.
Mohonlah kepada Allah supaya membimbing dan membantu kita apabila membaca Al Quran. Tujuan kita adalah untuk mengharap keredhaan dan rahmat daripadaNya serta kita berniat untuk berhubung dengan Allah dengan cara membaca, memahami dan mengamalkan setiap perkataan suci yang terdapat dalam Al Quran. Oleh itu, doa adalah satu perkara terbaik untuk memudahkan kita mendapat petunjuk dan panduan daripada Allah.
Akhir sekali,
Tips yang paling penting adalah kita mesti konsisten dalam membaca Al Quran. Perlu konsisten setiap hari dan setiap masa dalam membaca Al Quran, supaya kita semakin mahir. Bacalah sebanyak mungkin dan sekerap mungkin yang boleh. Tiada yang boleh menggantikan disiplin ini. InsyaAllah, pasti Allah akan memudahkan segala gerak kerja kita dalam mencapai redhanya. Semoga bermanfaat.
SHARE untuk mendapat SAHAM AKHIRAT secara PERCUMA.
Discussion about this post