Kita belum pun genap seminggu memasuki Bulan Rejab, alhamdulillah Allah masih panjangkan umur kita bertemu dengan Rejab, dan seringkali kita digalakkan untuk berdoa semoga diberkati umur sepanjang bulan ini dan dipanjangkan umur untuk bertemu Sya’ban dan Ramadhan 1443H.

Sedar atau tidak, setiap kali masuk sahaja bulan Rejab, akan timbul pelbagai isu dan persoalan tentang bulan Rejab. Antara soalan yang popular, adakah terdapat sebarang ibadah khusus sempena bulan Rejab?
Maksud Di Sebalik Bulan Rejab
Sebelum tu, jom kita berkenalan dulu apakah maksud di sebalik bulan Rejab ini.
Bulan Rejab ini adalah salah satu bulan yang mulia daripada 12 bulan dalam kalendar Islam dan juga termasuk dalam 4 bulan haram. Ini ada disebut dalam Surah At-Taubah 09129 pada ayat 36 (Q.S 9:36) :
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.
[At-Taubah:36]
Apakah Bulan Haram?
Apa yang dimaksudkan dengan bulan Haram dalam kalendar Islam ni? Sebelum tu, 4 bulan Haram dalam kalendar Islam adalah bulan Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah.
“Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zul al-Kaedah, Zul al-Hijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban”.
[Riwayat al-Bukhari (4054)]
4 bulan Haram ini dinamakan sebagai bulan Haram (suci) kerana dalam bulan-bulan ini, Allah mengharamkan peperangan dan sebarang bentuk kezaliman, kerana dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.
Namun, segala amal soleh yang dilakukan dalam bulan Haram (suci) ini juga, pahalanya lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. [Tafsir Ibn Kathir, 4:130]
Amalan Yang Digalakkan
Jadi, bersempena dengan bulan Rejab ini, marilah kita perbanyakkan amalan-amalan ibadah bersifat umum seperti :
- Berpuasa
- Memperbanyakkan sedeqah
- Memperbanyakkan mengaji Quran
- Memperbanyakkan berzikir
- Memperbanyakkan solat-solat sunat
Marilah kita sama-sama manfaatkan umur yang Allah masih pinjamkan kepada kita untuk rebut pahala ibadah sebanyak yang mungkin sebagai persiapan banteng iman untuk menghadapi bulan Sya’ban dan Ramadhan yang akan tiba tak lama lagi.

Seminar CepatPandaiQuran.com secara PERCUMA setiap bulan.
Daftarkan diri anda dan rebut peluang mengumpul pahala dalam Majlis Ilmu PERCUMA bersama AlMukhlisin.
Daftar di website cepatpandaiquran.com
8 Februari 2022
06 Rejab 1443H
Discussion about this post