Wanita adalah ciptaan Allah yang paling indah. Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah”
Hadis Riwayat Muslim.

Pernahkah kita dengar tentang peribadi yang disebutkan oleh Rasulullah saw sebagai wanita terbaik dunia? Mereka adalah penghulu bagi segala bidadari dan penghuni di syurga.
Merekalah sebaik-baik ikutan bagi para wanita dalam segala aspek. Keteguhan agama, kemurnian akhlak, ketulusan peribadi, ketinggian ilmu, dan kesantunan budi mereka sungguh tiada tandingan.
Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda :
سيدات نساء أهل الجنة أربع : مريم بنت عمران، وفاطمة بنت رسول الله، وخديجة بنت خويلد، وآسية
“Pemuka wanita ahli syurga ada empat ; Maryam binti ‘Imran, Fathimah binti Rasulullah saw, Khadijah binti Khuwailid, dan Asiah”
(Hadis Riwayat Muslim)
“Cukuplah wanita-wanita ini menjadi panutan kalian. Iaitu Maryam binti Imran, Khadijah binti Khuwailid, Fathimah binti Muhammad, dan Asiah binti Mudzahim, isteri Fir’aun”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi)
“Cukup bagimu 4 wanita terbaik di dunia ; Maryam binti Imran (Ibunda Nabi Isa), Khadijah binti Khuwailid, Fathimah binti Muhammad, dan Asiah isteri Fir’aun”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi, sanadnya disahihkan Syuaib Al-Arnauth)
PERIBADI YANG MERINDUKAN SYURGA
1. Khadijah binti Khuwailid
Beliau adalah isteri pertama Rasulullah saw, orang pertama yang memeluk Islam di tangan Baginda sendiri. Ummul Mukminin Saidatina Khadijah begitu dikasihi Rasulullah saw kerana keteguhan iman dan keyakinannya terhadap risalah keNabian yang dibawa oleh Baginda saw.
Demi membantu perjuangan dakwah Baginda, beliau sanggup mengorbankan harta dan dirinya. Rasulullah saw memuji Saidatina Khadijah r.a dalam satu hadis yang menyebutkan ;
“Beliau beriman kepadaku ketika semua manusia ingkar kepadaku. Beliau membenarkanku ketika manusia mendustakan. Beliau membantuku dengan hartanya ketika semua manusia menahan harta mereka”
(Hadis Riwayat Ahmad)
2. Fathimah bintu Muhammad
Saidatina Fathimah, Ummu Abiha r.a dikenali dengan ketabahan dan kesabarannya dalam membantu perjuangan Rasulullah saw. Pernah suatu ketika Baginda diuji ketika berdakwah dengan dilempari najis, Saidatina Fathimah yang masih kecil dengan sabar memujuk hati Nabi dan membersihkan kotoran pada tubuh mulia Baginda.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Fatimah adalah sebahagian daripadaku. Barangsiapa menyakitinya, sungguh dia telah menyakitiku”
(Hadis Riwayat Bukhari)
3. Maryam binti Imran
Kisah Saidatina Maryam telah diabadikan sebagai satu surah dalam Quran, iaitu Surah Maryam. Beliau adalah ibu kepada Nabi Isa a.s, yang berperibadi mulia, serta taat beribadah. Allah telah menetapkan baginya untuk hamil dan melahirkan seorang putera berpangkat seorang Nabi tanpa perlu bersuami.
Sungguh sabarnya beliau menghadapi fitnah dan tohmahan masyarakat terhadapnya hal keadaan dirinya masih teguh dengan iman dan yakin dengan kekuasaan Allah.
4. Asiah binti Mazahim
“Sejarah Asiah telah membuktikan, iman bukanlah penjara di jiwa. Yang selamanya tersembunyi, tapi kemerdekaan yang hakiki”.
Umum mengetahui Asiah, isteri kepada Fir’aun yang teguh dengan iman terhadap Allah meskipun bersuamikan Fir’aun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan. Kerana teguhnya Asiah dengan akidah dan keimanannya, serta tidak mahu mengakui kesesatan Fir’aun, beliau akhirnya syahid dibunuh.
DUHAI WANITA, TELADANILAH MEREKA.
MashaaAllah! Sungguh luar biasa perjuangan mereka sehingga diangkat sebagai wanita terbaik dunia, bahkan sebagai penghulu bagi segala penghuni Syurga.
Mereka tidak terpedaya dengan kesenangan dunia malah terus menghambakan diri, melakukan ibadat siang dan malam serta menjaga kehormatan diri daripada sekecil-kecil perbuatan maksiat.
Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita semua, khususnya kepada kaum wanita untuk sentiasa meneladani mereka dalam apa juga perbuatan dan aspek kehidupan. Mudah-mudahan di akhirat nanti kita akan dikenal sebagai pengikut para penghulu bidadari Syurga.
Allahumma aamiin.

Seminar CepatPandaiQuran.com secara PERCUMA setiap bulan.
Daftarkan diri anda dan rebut peluang mengumpul pahala dalam Majlis Ilmu PERCUMA bersama AlMukhlisin.
Daftar di website cepatpandaiquran.com
8 Mac 2022
5 Sya’ban 1443H
Discussion about this post